Doa Untuk Mengelakkan Wabak Penyakit

Buletin Online

Malaysiakini

Saturday, June 27, 2009

Fauzi calon PAS di Manek Urai


Jun 26, 09 6:48pm

Bendahari PAS Kuala Krai, Fauzi Abdullah dipilih sebagai calon parti itu dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai 14 Julai ini.

Pencalonan Fauzi itu diumumkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu cermah di Kampung Manek Urai Lama pada kira-kira jam 11 malam ini.

Fauzi yang berusia dalam lingkungan 50-an adalah seorang peniaga ikan dan anak tempatan.

Selain jawatan bendahari, beliau juga bertanggung sebagai pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) Guchil - juga terletak dalam parlimen Kuala Krai.

Turut hadir di ceramah tersebut ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa; pakar strategi PKR, Saifuddin Nasution dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Sementara itu, BN pula dijangka mengumumkan calonnya Ahad ini.

Ketua Pemuda Umno Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat dianggap calon yang paling sesuai untuk mewakili BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Tuan Aziz antara tiga nama yang dicadangkan oleh Umno bahagian. Dua lagi ialah naib ketua Umno bahagian, Che Jalal Muda dan bekas ADUN Mengkebang, Azizuddin Hassan.


Baca seterusnya...

Monday, June 22, 2009

Nik Aziz tarik balik minta Nasha keluar PAS


Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Nik Mat petang ini mengumumkan menarik balik kenyataannya menggesa Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa meninggalkan PAS dan meletakkan jawatan ahli parlimen Bachok jika menyokong cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Nik Abdul Aziz yang juga menteri besar Kelantan menegaskan demikian dalam satu kenyataan yang dibaca selepas satu perjumpaan khas hampir dua jam, mulai 5 petang tadi di pejabat agung PAS di ibunegara.

Berikut adalah kenyataan penuh Nik Aziz:

"Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di pejabat agung (PAS) dalam semangat kekeluargaan bagi menangani permasalahan dalam beberapa isu politik semasa, yang dibesar-besarkan oleh media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan prihal salah tanggapan antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politik parti Umno.

"Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair.

"Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di bangunan Parlimen jam 2.30 tadi yang menolak sepenuhnya idea kerajaan perpaduan.

"Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Mursyidul Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi."

Perjumpaan khas itu turut dihadiri oleh Nasharuddin, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din; Naib Presiden - Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar - Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, bekas naib presiden, Ahmad Awang, Ketua Dewan Pemuda, Nasruddin Hassan dan Ketua Muslimat Nurida Salleh.


Baca seterusnya...

Saturday, June 20, 2009

Ahlan Wasahlan,sollu alannabi..


ALHAMDULILAH ... setitik cahaya kini sudah mula tersembur di hujung terowong bagi menyelesaikan insiden yang berlaku di Kota Bharu sehari dua lalu. Semalam katanya Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat telah berjumpa dengan timbalanya Datuk Dr Haron Din di Kuala Lumpur.

Pertemuan itu berlangsung di rumah Kelanan. Dalam pertemuan atas permintaan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat itu katanya berlangsung dalam suasana mahabbah di antara keduanya. Pertemuan itu tidak disertai oleh sesiapa melainkan mereka berdua sahaja

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menjelaskan apa yang berlaku di Kota Bharu beberapa hari lalu yang telah memimbulkan kekalutan politik dan kekeliruan di kalangan ahli dan pen yokong Pas bersabit kenyataan kerasnya terhadap Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.

Kejadian itu mengejutkan banyak pihak dan ianya tidak wajar berlaku apa lagi membabitkan dua pemimpin Pas seorang bertaraf mursyidul dan seorang lagi timbalan presiden.

Difahamkan dalam pertemuan itu, Tuan Haji Nik Abdul Aziz menjelaskan apa yang berlaku sebenarnya dalam konotasi yang sepatutnya difahami oleh ahli dan penyokong Pas. Beliau juga mengakui kenyataan kepada media itu dilakukan dalam keadaan tidak dapat dikawal dan berbaur sedikit rasa marah.

Sementara itu sehari sebelum ini Mursyidul Am Pas itu juga turut sama dikunjungi oleh Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta ahli jawatankuasa Dewan Ulama, Nik Zawawi Salleh di kediamannya di Pualau Melaka.

Dalam kunjungan atas kapasiti kedua mereka sebagai anggota keluarga itu, Tuan Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menjelaskan apa yang berlaku. Khabarnya Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz memberi jaminan apa yang berlaku itu akan dapat diselesai dengan baik.

Pernyataan yang sama juga katanya dituturkan kepada Datuk Dr Haron Din.

Mudah-mudahan sahaja apa yang berlaku di Kota Bharu itu boleh diatasi dan keadaan akan kembali tenang semula. Adalah diharap apabila berlaku pertemuan ukhwah antara Mursyidul Am itu dengan beberapa pemimpin tertinggi dipilihnya akan menamatkan polemik mengenai indisden berkenaan. [wm.kl. 11:00 am 20/06/09]

http://msomelayu.blogspot.com/


Baca seterusnya...

Manek Urai: Umno berpecah dua

Sumber : Malaysiakini

Peluang Umno menang di Manek Urai bukan hanya ditentukan oleh calon yang sesuai tetapi juga sama ada dua kumpulan Umno dalam bahagian tersebut, boleh bersatu.

Umno bahagian kini terbahagi kepada dua kumpulan - yang menyokong ketua bahagian sekarang, Datuk Ramzi Abdul Rahman dan yang menyokong bekas ketua bahagian Datuk Wan Zaid Abdullah.

Menurut sumber, kedua-dua mereka mempunyai pengaruh yang sama banyak dan jika satu kumpulan tidak menyokong, Umno sukar menang di Manek Urai.

Jika tidak ditangani segera, kata sumber itu, jentera kempen BN Manek Urai boleh berpecah kepada dua kumpulan.

Sebanyak 28 daripada 42 cawangan Umno di Kurai Krai merupakan cawangan yang menyokong Wan Zaid sejak sekian lama.

"Hubungan mereka berdua renggang sebaik sahaja Datuk Ramzi menjadi ketua bahagian, menggantikan Datuk Wan Zaid pada 2005," kata sumber kepada Malaysiakini.

Isu jawatan ketua bahagian

Sumber itu mendakwa Ramzi telah menyingkirkan semua orang Zaid - sama ada di peringkat bahagian mahupun di cawangan-cawangan.

Menurutnya lagi, dalam mesyuarat Umno bahagian pertengahan tahun lalu, 28 cawangan mahu mencalonkan Wan Zaid bertanding jawatan ketua bahagian Kuala Krai.

Bagaimanapun, kumpulan itu gagal kerana mesyuarat mereka dikatakan tidak sah dan sekaligus gagal mencalonkan Wan Zaid untuk mencabar Ramzi.

Berikutan itu, Ramzi mempertahankan jawatan ketua Umno bahagian tanpa bertanding.

"Tetapi pengaruh Datuk Wan Zaid di sini masih banyak lagi kerana disokong oleh 28 cawangan.

"Sebab itu masih ada orang Umno yang berharap beliau dicalonkan untuk bertanding di DUN Manek Urai," katanya.

'Peruntukan tak cukup'

Menurutnya lagi, jika isu antara Ramzi dan Wan Zaid tidak ditangani, maka jentera pilihanraya BN Manek Urai tidak bersatu padu.

Tambahnya, sehingga hari ini ramai petugas Umno di Manek Urai belum membina bilik gerakan di peti undi dan cawangan masing-masing.

"Ramai merungut kerana peruntukan RM2,000 untuk satu peti undi terlalu kecil. Peruntukan sebanyak itu sesuai untuk memasang poster dan kain pemidang tetapi sukar untuk membina bilik gerakan kecil.

"Sebab itu, ramai yang mengambil sikap tunggu dan lihat. Sebenarnya mereka mahu peruntukan yang lebih besar sebelum menjalankan kerja-kerja kempen pilihnaraya," kata sumber itu.

DUN Manek Urai mempunyai sembilan peti undi.

Suruhanjaya pilihanraya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai hari penanamaan calon dan 14 Julai hari mengundi.


Baca seterusnya...

Anwar Tidak Tolak Kemungkinan Kembali Ke Penjara Kerana Konspirasi Pendakwaan FL


Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan pendakwaan fitnah liwat terhadapnya di Mahkamah tinggi Kuala Lumpur akan menyaksikan beliau dijatuh hukuman dengan segera dan dikembalikan ke penjara Sungei Buloh sekali lagi.

Perbicaraan atas tuduhan liwat terhadap Anwar akan bermula pada 1 Julai meskipun dua laporan perubatan membuktikan tidak ada tanda-tanda pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan diliwat sebagaimana yang didakwa beliau.


"Senario terburuk yang mungkin saya hadapi ialah mereka menolak permohonan ikat jamin saya dan segera menjatuhkan hukuman," anwar dipetik berkata oleh agensi berita Peranchis, AFP.

Menurut Anwar, beliau menjangkakan bukti-bukti palsu akan dibentangkan di mahkamah oleh pendakawaan sekali lagi sebagaimana yang dilakukan pada perbicaraan 1998 dalam cubaan UMNO-Barisan Nasional menamatkan kareer politiknya.

"Itu adalah cara termudah bagi Umno untuk menghapuskan saya bagi menyelesaikan masalah politik mereka," tambah beliau lagi.

Anwar, 61, secara konsisten menolak dakwaan yang dilemparkan ke atasnya oleh Saiful dan laporan perubatan Hospital Pusarawi dan Hospital Kuala Lumour yang disahkan oleh tiga pakar perubatan menguatkan hujah Anwar bahawa tuduhan itu satu lagi rekacipta dan konspirasi politik oleh pimpinan tertinggi UMNO.

Saiful membuat laporan polis kononnya beliau diliwat oleh Anwar beberapa hari selepas bertemu dengan Perdana Menteri Najib Razak.

Najib ketika itu sedang mengarahkan kempen untuk menumpaskan Anwar pada pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh.

Najib menggunakan laporan polis itu sebagai modal politik namun rakyat menolak fitnah berkenaan. Anwar menang dengan majoriti besar di Permatang Pauh dan diangkat menjadi Ketua Pembangkang di parlimen.

Meskipun tuduhan liwat oleh Saiful amat rapuh, Najib merestui tindakan Peguam Negara Gani Patail membawa pertuduhan terhadap Anwar ke mahkamah.

Anwar berkata dua laporan perubatan itu harus cukup untuk menyakinkan mana-mana pihak bahawa pertuduhan terhadapnya tidak berasas sama sekali.

"Kes ini tidak harus diteruskan apabila ia begitu jelas dilaporkan oleh pasukan doktor perubatan...yakni pakar perubatan bahawa tidak ada kesan (saiful) diliwat, jadi mengapa mereka tetap meneruskannya kecuali ia adalah menjadi satu konspirasi politik," tambah beliau lagi.

Anwar berkata Parti Keadilan Rakyat akan mengatur langkah secara terancang dan aman untuk menarik perhatian rakyat terhadap cubaan UMNO-Barisan Nasional sekali lagi memperalatkan institusi-institusi negara untuk memenuhi agenda politik sempit mereka.

"Kita akan lawan dan saya juga kini lebih bersedia, tidak seperti 1998 kerana ketika itu ia berlaku secara mengejut dan tidak sesiapun menjangkakan rancangan jahat sedemikian dirancangkan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar juga berkata beliau bersedia bersemuka di mahkamah dengan Mohd Saiful.

"Saya tiada masalah berhadapan dengannya. Isunya adalah beliau (Saiful) perlu bersedia dengan semua bukti yang menentang tuduhannya, terutamanya bukti laporan perubatan," tambah beliau lagi.

Anwar berkata perbicaraan itu tidak akan memberi kesan kepada keutuhan Pakatan Rakyat sebagai gagasan berwibawa.

"Pakatan Rakyat bersedia menghadapi hakikat kemungkinan saya dipenjarakan dan sudahpun mengambil langkah yang sepatutnya," tambah beliau.


Baca seterusnya...

Friday, June 19, 2009

Pemimpin besar PAS temu sebulan lagi

PAS kelihatan tidak perlu segera merungkaikan kekusutan yang sedang melandanya berhubung isu kerajaan perpaduan walaupun akan berdepan dengan pilihanraya kecil DUN Manek dua minggu lagi.

Parti itu bercadang mengadakan permukiman khas anggota-anggota jawatankuasa pusat dan Majlis Syura selama dua hari mulai 18 Julai, empat hari selepas pilihanraya kecil DUN tersebut.

Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad dipetik berkata permukiman itu bertujuan menyelesaikan isu kerajaan perpaduan, lapor blog sebuah mingguan politik Siasah semalam.

Bagaimanapun laporan itu tidak menyebut lokasi permukiman tersebut bakal diadakan.

Menurut blog itu lagi, permukiman tersebut langkah awal untuk menggerakkan satu seminar mengenai kerajaan perpaduan seperti cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam perkembangan berkaitan, di laman web Harakahdaily pula, Idris menyeru semua ahli PAS bertenang "dalam menghadapi ujian yang begitu mencabar" yang "akan menguji kematangan pemimpin untuk menguruskan krisis".

"Semua ahli PAS perlu berhati-hati dalam menghadapi isu ini. Ini kerana musuh sentiasa memasang perangkap untuk menjayakan misi mereka bagi memecah-belahkan di kalangan ahli dan pimpinan," beliau dipetik berkata semalam.

"Dapatkan maklumat rasmi daripada akhbar rasmi Harakah, laman web Harakahdaily dan akhbar Siasah supaya tidak menimbulkan kekeliruan.

"Tunggu dan sabarlah untuk mendapatkan penjelasan rasmi daripada pimpinan dalam isu ini. Rapatkan saf jamaah supaya syaitan tidak menyusup masuk ke dalam parti kita".

Semalam, Nik Aziz merancang mengadakan mesyuarat khas yang hanya dihadiri pemimpin tertinggi PAS termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Nasharudin Mat Isa.

"Pertemuan ini saya namakan mesyuarat ukhuwah (persaudaraan) yang akan menyelesaikan isu kerajaan perpaduan ini.

"Buat masa ini masa, tarikh dan lokasinya belum lagi dapat ditentukan sama ada di Kuala Lumpur atau di Kelantan, bergantung kepada kesesuaian masa tetapi akan diadakan secepat yang boleh," Nik Aziz dipetik berkata.


Baca seterusnya...

"Idris Cap Ayam"



Posted on Thursday, June 18 @ 07:00:00 PDT by TokBatin

Petikan Siasah

KUALA TERENGGANU, 18 Jun: Malang datang bertimpa-timpa kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh. Yang terbaru, beliau disifatkan "Idris cap ayam" selepas beberapa projeknya terus-terusan memberikan masalah kepada Umno Terengganu sendiri.

Ia bermula dengan robohnya bumbung Sekolah Menengah Wakaf Tapai April 2008 lalu dan kemudiannya bumbung Stadium Sultan Mizan baru-baru ini.


Kolam renang yang menjadi pusat sukan akuatik di Batu Burok juga didakwa bocor oleh peniaga sekelilingnya apabila air tidak berhenti-henti membasahi kawasan perniagaan mereka yang terletak dikawasan kolam renang itu.


Ketiga-tiga projek ini dikaitkan dengan projek Wang Ehsan yang diuruskan kerajaan negeri dibawah Idris sebelum ini.
Kini Idris berdepan dengan tuduhan bahawa beliaulah sebenarnya di belakang bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Ahmad Ramzi Ahmad Zuber yang kini sedang menghadapi tuduhan kes jenayah di mahkamah ekoran SMS ugutan kepada tiga Adun Umno.

Ramzi dituduh membuat ugutan bunuh kepada ketiga-tiga mereka di samping membuat fitnah kepada Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu sekarang, Datuk Ahmad Said.


Dakwaan ini dikemukakan kepada Ramzi ekoran tiga Adun BN termasuk Datuk Rosol Wahid, menerima satu SMS ugutan terhadap nyawa mereka dari telefon bimbit yang nombornya dimiliki oleh Ketua Setiausaha Sulit MB Terengganu.


Selepas menerima SMS itu, Ramzi telah menemani mereka membuat laporan polis. Ekoran SMS ini juga, ketiga-tiganya membuat sidang akhbar dan mengajak Adun BN Terengganu memboikot sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu yang sepatutnya berjalan hari itu.
Ekoran itu, 14 Adun BN memboikot sidang Dun Terengganu yang gambarnya telah disiarkan di muka depan hampir semua akhbar.


Ia telah memalukan kerajaan negeri Terengganu pimpinan Ahmad Said dan beliau telah dipanggil menemui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin di Kuala Lumpur.


Namun, selepas disiasat polis, didapati Ramzi didakwa orang yang sebenarnya menghantar SMS tersebut menggunakan komputer dan meletakkan Ketua Setiausaha Sulit MB sebagai sender (penghantar).
Ekoran itu, terbukti bukan pegawai Ahmad Said yang menghantar mesej ugutan tetapi dari kem Idris Jusoh sendiri apabila tertangkapnya Ramzi.


Tindakan Ramzi ini disifatkan sebagai usaha kem Idris untuk memalukan Ahmad Said dan seterusnya memaksa beliau meletakkan jawatan sebagai MB Terengganu.


Kini, bukan Ahmad Said yang malu tetapi Idris sudah digelar 'cap ayam' kerana ungkapan itulah yang selalu digunakan Idris semasa menjadi Menteri Besar dahulu terhadap apa-apa sahaja yang berkualiti rendah.


Baca seterusnya...

Tasamuh Dalam Ikhtilaf.

Oleh:Ustaz Tuan Ibrahim bin Tuan Man.

Tasaamuh bermaksud berlapang dada atau tolak ansur manakala ikhtilaf bermaksud perbezaan pandangan.

Ikhtilaf atau perbezaan pendapat adalah lumrah bagi manusia, ia berlaku di kalangan para ambiya’, dan turut berlaku di kalangan para sahabat. Ia juga berlaku di zaman Rasulullah , samada sewaktu Baginda masih hidup apatah lagi setelah Baginda wafat. Ikhtilaf berlaku dalam pelbagai keadaan samada berpunca dari penafsiran sesuatu nas dalil yang mempunyai pelbagai makna, lahjah yang berbeza atau sudut pandangan sesaorang; namun ianya tidak pernah diangap negatif dalam sejarah para ulamak; sehingga terkeluar kata-kata masyhur “

Perbezaan pendapat di kalangan umatku adalah rahmat’ walaupun kata-kata ini ditahkik oleh Dr Yusuf Qardhawi sebagai ‘la aslalah’, ( tidak diketahui punca riwayat sebenar), kerana beliau melihat kalau perbezaan pendapat menjadi rahmat, bermakna muafakat adalah bala’, dan ini tentunya bertentangan dengan sifat Islam sebagai rahmat, serta dalil-dalil yang lain.

Saya tidak berhasrat membicarakan persoalan tersebut dari sudut tahqiq atau para perawi, tetapi ianya adalah masyhur. Lantaran itu rahmat yang disebut dalam kata-kata itu tentulah lahir dari pelbagai natijah hasil ikhtilaf tersebut.

Para ulamak telah membuat huraian panjang lebar berhubung dengan persoalah adab dalam ikhtilaf. Namun adab hanya akan diikuti bilamana adanya tasawur yang jelas terhadap apa yang diikhtilafkan. Sebagai sebuah jamaah Islam, ikhtilaf hendaklah berjalan di atas landasan ukhuwwah, bukan kebencian dan memandang rendah kepada sahabat. Ikhtilaf boleh berlaku di kalangan pimpinan dan pengikut demi memperkukuhkan jamaah, ia akan lahir setelah adanya sikap hormat kepada perbezaan pandangan, kerana kemampuan berfikir manusia tidak sama.

Dari sudut jamaah, kita terikat dengan akhlak dan adab berjamaah, yang menuntut kita agar berlapang dada dengan perbezaan pendapat, dan tidak memaksa pandangan kita ke atas jamaah, kecuali dalam perkara yang terikat dengan nas yang bersifat qatie. Selagi ianya bersifat ijtihadi, maka ia terikat untuk dibahas, dibincang , diterima atau ditolak.

Sikap Tasaamuh ( berlapang dada ) dalam ikhtilaf sangat-sangat dituntut. Terkadang kita memandang baik kepada sesatu perkara, sedangkan ianya tidak baik bagi kita, bahkan terkadang kita membenci sesuatu, sebaliknya ia baik bagi kita. Itulah yang diingatkan oleh Allah “ dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, tetapi ianya baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu mengasihi sesuatu, tetapi ia tidak baik bagi kamu , Allah mengetahui, sedangkan kamu sebenarnya tidak mengetahui”. Oleh kerana perkara masa depan adalah dalam ilmu Allah, maka setiap perbezaan pandangan hendaklah mengharapkan kebaikan dari Allah. Berlapang dadalah dengan perbezaan ini. Apatah lagi kalau kedua-duanya untuk kebaikan jamaah. Kita mempunyai saluran dalam melahirkan perbezaan pandangan, maka gunakan saluran parti bagi menyatakan perbezaan pandangan agar ia tidak merosakkan ukuwwah dalam jamaah.

Kita punya pengikut yang ada kecenderungan tersendiri, samada untuk mengikuti pandangan seseorang atau membencinya. Kebencian ini akan memberi ruang kepada musuh untuk memasukkan jarum fitnah, yang boleh menjurus kepada hilangnya wala’ pada pimpinan. Sedangkan wala’ adalah rukun dalam jamaah. Sebagai pimpinan kita tidak seharusnya meletakkan ahli dan pengikut dalam situasi serba salah, antara bersetuju dengan sesuatu pendapat dan pandangan atau sebaliknya. Kerana rasa bersalah yang ujud dalam diri ahli untuk menerima atau menolak sesuatu pandangan pimpinan, mendorong kepada dua situsi;

i. Apa orang lain akan kata kepadanya, dan sekiranya ia berlaku, ia mendatangkan kesan besar selepas itu. Tidak mustahil ada yang akan tersinggung, menyisih diri, merajuk dan seterusnya hilang dari jamaah,
ii. menjadi golongan kecewa dengan apa yang berlaku dan terus mengambil sikap berdiam diri dari aktif dalam jamaah.

Kedua-dua situasi ini tidak menguntungkan jamaah dan paling besar merugikannya bilamana dia mengadap Allah diakhirat. Lantaran itu, ikhtilaf hendaklah di dalam lingkungan adab berjamaah, ia dikawal dari sikap melampau, membuka ruang kepada musuh, apatah lagi menjerumus kepada hilangnya sikap hormat, kecewa, dan tidak mempedulikan jamaah.

Awasi perangkap musuh yang membesar-besar perbezaan pendapat, meracuni pemikiran ahli agar hilang wala’ pada pimpinan, dan memberi peluru kepada musuh untuk merosakkan jamaah. Semoga Allah memelihara kita dari finah ini.


Baca seterusnya...

Kisah Mustaliq : Jadikan Iktibar. vol 1

Oleh Ustaz Nasarudin Tantawi

Rentetan peristiwa perang Bani Mustaliq di zaman Rasulullah saw terlalu panjang dan agak kompleks untuk dirungkai dan dihurai dalam penulisan ringkas sebegini .

Saya cuma mengambil beberapa insiden yang berurutan dari peristiwa ini untuk dijadikan panduan kita berjuang dan berdepan pula dengan fitnah yang melanda perjuangan kita hari ini .

Asasnya perang Bani Mustaliq ini bukanlah satu peperangan besar dalam sejarah Islam tetapi apa yang paling menyerlah ialah bagaimana ia menunjukkan kepada umum peranan yang di mainkan oleh seorang tokoh munafiq yang bernama Abdullah bin Ubai dan kuncu -kuncunya yang sebelum itu telah menyimpan dendam politik sekian lama terhadap kepimpinan Rasulullah saw. malah turut mendedahkan beberapa perlakuan jahat yang dilakukan oleh mereka .

Peranan jahat Abdullah bin Ubai kian menjadi - jadi setelah gagalnya harapan beliau untuk menjadi ketua atau pemimpin di Madinah setelah kemenangan Islam dan hijrahnya Rasulullah saw ke Madinah . Ia menganggap Rasulullah saw telah merampas cita - citanya .

Sejak itu , tertanam di dalam dirinya dendam dan hasad yang senantiasa membara dan mencari setiap kesempatan untuk melakukan sesuatu yang membahayakan Rasulullah saw dan Islam yang dipimpin oleh baginda saw.

Peristiwa Bani Mustaliq ini menyaksikan bagaimana Abdullah bin Ubai dan para pengikutnya keluar bersama dengan bala tentera ummat Islam tetapi Allah swt mengetahui dan mendedahkan kedudukan dan peranan jahat mereka . Allah swt berfirman :

لو خرجوا فيكم مازادوكم إلا خبالا و لأوضعوا خلالكم يبغونكم الفتنة
و فيكم سماعون لهم و الله عليم بالظالمين

Kalaulah mereka keluar bersama - sama kamu , tidaklah mereka menambah kekuatan kamu melainkan menambah kerosakan dan tentulah mereka melakukan hasutan di antara kamu dengan tujuan hendak menimbulkan fitnah [ kekacauan ] dikalangan kamu , sedang ada diantara kamu orang - orang yang suka mendengar hasutan mereka dan ingatlah Allah swt Maha Mengetahui akan orang - orang yang Zalim . Surah At Taubah : 47

Kerja Jahat Abdullah bin Ubai

Pernah seketika berlaku perselisihan antara 2 orang sahabat nabi saw [ muhajirin dan ansar ] lalu Rasulullah saw menegur mereka berdua : " Apakah kamu mahu kembali kepada jahiliyah sedang aku masih ada bersama kamu ? " akhirnya mereka berdua hentikan pergaduhan dan berdamai .

Malangnya apabila berita perdamaian itu sampai kepada Abdullah bin Ubai lalu dia berkata : " Apakah munasabah dia [ rasul saw ] melakukan demikian . Apabila mereka sudah ramai dalam negeri kita , mereka hendak menunjukkan kekuatan . Samalah seperti kata pepatah , gemukkan anjing kamu kemudian dia akan memakan kamu . Jaga - jaga , kalau pulang ke Madinah ,nanti tahulah dia nanti . Orang yang mulia akan mengeluarkan orang yang hina ! "

Ucapan itu didengari oleh Yazid bin Ikram lalu Yazid beritahu kepada bapa saudaranya dan bapa saudaranya memberitahu Rasulullah saw . akan ucapan Abdullah bin Ubai tersebut . Kebetulan Saidina Umar ada bersama Rasul saw. Lalu Umar rha berkata : " Suruh sahaja Abbad bin Bisyr membunuh dia ! " tetapi ia dihalang oleh nabi saw. bimbang fitnah lebih besar , nanti orang akan kata Muhammad membunuh sahabatnya sendiri .

Malah anak Abdullah bin Ubai sendiri yang juga bernama Abdullah [ seorang yang beriman dan soleh ] minta izin dari nabi saw untuk membunuh bapanya tetapi tidak dibenarkan oleh Rasulullah saw . bagi mengelakkan fitnah yang besar

Abdullah bin Ubai mengetahui ucapannya telah sampai ke pengetahuan Rasulullah saw lalu ia pergi bertemu dengan Rasulullah saw lalu bersumpah dan menafikan ucapannya .

Tiba - tiba seorang Ansar mengatakan Ya Rasulullah saw . " mungkin budak yang melaporkan berita mengenai ucapan Abdullah bin Ubai ini tersalah lapor ! lalu Rasulullah saw terus mengingatkannya . Maka berduka citalah Zaid bin Arqam [ yang melaporkan ] kerana ia merasakan dirinya telah diperbohongkan .

Tetapi Allah swt Maha Mengetahui lalu menurunkan surah al Munafiqun dan mendedahkan perkara sebenar yang dilakukan oleh golongan munafiq khasnya Abdullah bin Ubai . Akhirnya Rasulullah saw memanggil Zaid bin Arqam dan membacakan surah al Munafiqun kepadanya kemudian nabi saw bersabda : " Sesungguhnya Allah swt telah meletakkan kamu sebagai orang yang benar .


Baca seterusnya...